Powered By Blogger

Monday, July 27, 2009

laporan

LAWATAN OPERASI KLD TUNAS SAMUDERA KE BRUNEI DARUSSALAM

Pada 24 julai 2009, KLD TUNAS SAMUDERA sekali lagi melakar sejarahnya tersendiri dengan melakukan lawatan operasi ke Negara Brunei Darussalam. Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang terletak di kepulauan Borneo. Malah negara ini merupakan jiran yang terhampir dengan negara kita. Tidak hairanlah bahawa kita sememangnya memiliki hubungan yang baik diantara kedua-dua negara ini. Negara yang memiliki kepadatan penduduk pada kira-kira 589 000 orang penduduk ini merupakan salah sebuah negara Islam yang terdapat di rantau ini. Bahasa melayu merupakan bahasa rasmi bagi negara ini. Negara ini dilihat unik kerana masih mengekalkan sistem pemerintahan beraja. Lawatan muhibbah ini bukan sahaja mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin diantara dua negara ini amnya, malah ianya juga turut mengeratkan hubungan antara warga Tentera Laut Diraja Malaysia dan juga warga Tentera Laut Diraja Brunei. KLD TUNAS SAMUDERA yang terlibat dalam misi Pelayaran SAIL BUNAKEN 09 di Bitung, Sulawesi Utara pada 12 hingga 20 Ogos 2009 memilih untuk bersinggah di Brunei dalam melaksankan misi pelayaran ini. Tepat jam 0900H, KLD TUNAS SAMUDERA selamat berlabuh di jeti TLDB yang baru siap dibina. Ketibaan KLD TUNAS SAMUDERA disambut dengan meriah oleh warga TLDB beserta dengan iringan muzik kumpulan pancarangam TLDB.

Ketibaan KLD TUNAS SAMUDERA ini sememangnya amat dinanti-nantikan oleh warga TLDB dan juga masyarakat negara ini yang ingin melihat sendiri Tall ship yang menjadi kebanggan TLDM. Pelbagai acara telah dirancangkan buat warga kapal sepanjang berada di negara ini. Acara dimulakan dengan kunjungan hormat Pegawai Memerintah KLD TUNAS SAMUDERA iaitu Lt Kdr Mohd Zaidi bin Ibrahim TLDM ke atas Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Dan Pemerintah Tentera Laut Di Raja Brunei. Dalam masa yang sama juga, berlangsungnya perlawanan futsal dan bola tampar diantara warga kapal dan warga TLDB di pangkalan mereka. Walaupun keputusan kedua-dua perlawanan berpihak kepada mereka namun semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh warga kapal jelas mencerminkan imej baik yang sentiasa dipegang oleh warga TLDM. Perlawanan ini juga merupakan salah satu platform dalam mengeratkan hubungan diantara warga kapal dan juga warga TLDB. Pelayaran mengelilingi dunia KLD TUNAS SAMUDERA merupakan pelayaran yang amat mengkagumkan malah warga TLDB juga turut mengikuti perkembangan kapal melalui laman web rasmi Tunas Samudera. Mereka juga turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kapal ini.

Sebaik segala acara selesai, warga kapal kembali ke kapal dan mempersiapkan kapal untuk acara resepsi yang dianjurkan oleh pihak kapal sebagai tanda penghormatan kepada pihak TLDB. Perkara ini sememangnya sinonim dengan mana-mana kapal TLDM yang melawat negara asing. Pelbagai persiapan dilakukan demi memastikan acara yang dianjurkan berjalan dengan lancar. Apa yang lebih membanggakan ialah acara pada malam ini turut di hadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei iaitu Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Haji Awang Halbi bin Haji Yussoff. Selain itu kehadiran TYT Dato’ Ku Jaafar bin Ku Shaari iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei turut memeriahkan majlis kami. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Pemerintah Tentera Darat Brunei dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan Brunei. Majlis pada malam itu berjalan dengan lancar dan turut diserikan dengan persembahan nyanyian berkumpulan warga kapal yang berjaya menarik perhatian tetamu yang hadir. Majlis yang meriah serta hidangan yang istimewa merupakan imej KLD TUNAS SAMUDERA dalam memastikan jemputan pulang dengan perasaan yang puas selain meninggalkan pelbagai kenangan manis yang pastinya terpahat di ingatan mereka.

Keesokan harinya, KLD TUNAS SAMUDERA sekali lagi menggalas tugasan penting iaitu membawa Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei serta pegawai-pegawai TLDB untuk mengikuti pelayaran bersama KLD TUNAS SAMUDERA. TYT Dato’ Ku Jaafar juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama warga KLD TUNAS SAMUDERA pada hari ini. Pelayaran selama empat jam di sekitar perairan Brunei ini pastinya singkat buat mereka, namun pelbagai aktiviti telah dirancangkan buat mereka sepanjang empat jam. Sebaik sahaja kapal selesai melalui laluan pemalim, kesemua layar Fore and Aft dikembangkan sebagai demonstrasi. Warga TLDB juga diberi peluang untuk memanjat tiang layar hadapan dan juga diberi peluang untuk mengendalikan layar di bawah pengawasan warga kapal. Aktiviti ikatan tali dan juga pertandingan tarik tali juga dilaksanakan bagi memastikan empat jam yang berlalu begitu bermakna. Jelas warga kapal dan warga TLDB sememangnya mempunyai persefahaman yang baik dalam melaksanakan tugasan di kapal. Pada jam 1230H, kapal selamat bertambat di pelabuhan awam Muara, Brunei Darussalam.

Selesailah sudah tugasan KLD TUNAS SAMUDERA di Brunei Darussalam. Kini tibalah masanya untuk warga kapal bersiar-siar disekitar Bandar Seri Begawan yakni ibu negara Brunei Darussalam. Warga kapal tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan senibina masjid-masjid yang amat mengkagumkan di sekitar Bandar ini dari dekat. Masjid Umar Ali Saifuddin melambangkan keunikan senibina islam yang juga menjadi kebanggaan rakyat Brunei Darussalam. Pada ketika ini sekitar jalan-jalan raya di brunei dipenuhi dengan pelbagai hiasan. Di sana-sini kelihatan ucapan sembah tahniah rakyat keatas ulangtahun kelahiran raja pemerintah negara ini. Selain itu, warga kapal juga turut berpeluang melawat ke Bangunan Regalia dimana tersimpannya pelbagai alat kebesaran diraja. Peluang ini digunakan sebaiknya oleh warga kapal untuk melihat sendiri dengan lebih jelas gaya hidup masyarakat negara ini. Walaupun tidak banyak perbezaan yang ketara dengan cara hidup masyarakat negara kita namun masih terdapat perbezaan yang unik wujud dalam masyarakat negara ini. Masyarakat Negara ini amat prihatin terhadap perayaan yang disambut.

Peluang berkelepasan digunakan sebaiknya oleh warga kapal. Inilah masanya untuk melihat sendiri serta merasai keunikan masakan tempatan. Walaupun terdapat jurang dalam kadar tukaran wang di negara ini, namun ianya bukanlah masalah bagi warga kapal untuk merasai keenakan ambuyat iaitu masakan istimewa yang hanya boleh didapati di Brunei sahaja. Membeli cendera kenangan merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh warga kapal sebagai bukti tempat yang telah dilawati. Keramahan masyarakat, keamanan negara ini pastinya menjadi kenangan yang indah untuk dikenang oleh warga kapal. Pastinya lawatan KLD TUNAS SAMUDERA ke Brunei Darussalam juga meninggalkan kenangan yang indah buat warga TLDB dan masyarakat setempat amnya.

Pada hari terakhir sebelum kapal memulakan pelayaran, Pegawai Memerintah beserta dua orang pegawai kapal telah dijemput untuk bersarapan bersama pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei di Wisma Pegawai TLDB. Layanan yang amat istimewa telah diberikan buat kami sepanjang berada di sini merupakan satu pengalaman yang ahrus dikenang ketika berada di negara ini.Kami amat berbangga untuk berada di negara ini lebih lama namun apakan daya, masih banyak perkara yang belum diselesaikan. Kapal belayar meninggalkan pelabuhan Muara tepat jam 0845H dengan meninggalkan seribu satu kenangan manis. Lambaian serta ucapan selamat tinggal bukanlah merupakan berakhirnya sebuah hubungan baik yang telah sekian lama terjalin diantara kedua-dua negara, namun ianya hanyalah sementara dan pasti banyak lagi agenda akan menyusul demi menjaga hubungan baik ini.

No comments:

Post a Comment