Powered By Blogger

Monday, January 25, 2010

sweet moment to be remembered

Mengimbas pengalaman manis.

Kenangan semasa aku menjadi penulis untuk jurnal pelayaran KLD TUNAS SAMUDERA.

Alhamdulillah sehingga kini kapal masih lagi gah membelah lautan tanpa sebarang masalah. Kapal meneruskan pelayaran menuju ke destinasi seterusnya dengan belayar menggunakan kuasa jentera dan layar atau motorsailing. Kelajuan kapal pada ketika ini mencecah sehingga 8 ke 9 knot. Keadaan arus yang menolak kapal dari arah belakang telah memberikan kami sedikit kelebihan dalam pelyaran ini. Baki jarak yang perlu kami tempuhi ialah 600 batu nautika. Terlalu jarang bagi kami untuk melihat kontak-kontak ataupun kapal-kapal lain ketika berada di lautan Atlantik Barat ini.

Rutin kami dimulakan dengan aktiviti senaman awal pagi di geladak tengah. Aktiviti selama setengah jam inilah yang banyak membantu kami untuk mendapatkan kecergasan sebelum tugas-tugas harian dimulakan. Selepas aktiviti senaman awal pagi, semua warga kapal berkumpul di geladak belakang untuk mendengar taklimat daripada Pegawai Laksana. Seperti semalam penekanan terhadap kerja-kerja menyelenggara wooden capping diberi keutamaan. Kesemua warga kapal yang tidak bertugas akan melakukan kerja-kerja senggaraan terhadap wooden capping ini. Suhu tertinggi dicatatkan pada tengahari ini ialah 36 darjah selsius. Seperti biasa kerja-kerja di geladak atas akan berehat sementara pada jam 1030P dan bersambung semula pada jam 1100P sehinggalah waktu makan tengahari.

Hari ini tiga orang lagi pegawai muda dianugerahkan sijil panduarah falak samudera atau Ocean Navigation Certificate (ONC) oleh Pegawai Memerintah. Sedikit upacara ringkas diadakan di geladak belakang pada jam 1400P bagi meraikan penerima-penerima sijil ini. Mereka adalah Lt Dya Halimy, Lt Dya Ameruddin dan Lt Dya Faizal. Tahniah diucapkan kepada penerima dan majlis ini disudahi dengan bacaan doa oleh Lt Dya Ameruddin. Sejurus selesai majlis, warga kapal kembali melakukan senggaraan terhadap wooden capping. Pada hari ini pihak kapal telah menganjurkan kursus imam dan bilal kepada warga kapal dan dalam masa yang sama ceramah mengenai first aid turut diadakan di balai kencana. Pada petang ini, warga kapal berkesempatan untuk melihat kelibat ikan lumba-lumba yang sedang melompat-lompat di tepian kapal. Terdapat beberapa ekor ikan lincah ini berenang-renang dan sesekali melompat menunjukkan kebolehan masing-masing. Ternyata Atlantik ini menyimpan pelbagai jenis khazanah hidupan laut yang tidak mungkin kita terokai. Kerja-kerja senggaraan tamat pada jam 1700P dan akan bersambung semula pada keesokkan harinya. Terbenamnya matahari pada hari ini ialah pada jam 1810P menandakan masuknya waktu solat fardu Maghrib bagi KLD TUNAS SAMUDERA.

Satu lagi keindahan ciptaan tuhan yang harus dikagumi apabila terlihat terbenamnya mentari di ufuk barat. Warga kapal mula berpusu-pusu mengunjungi kafeteria untuk menikmati hidangan makan malam. Kemudiannya, warga kapal akan terus ke geladak atas untuk menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Lebih kurang jam 2005P, warga kapal telah dipanggil ke geladak atas untuk acara mengembangkan layar. Pada malam ini kapal telah mengembangkan layar-layar empat segi serta main sail dan jib. Tiupan angin sememangnya bersesuian dengan layar yang dipasang. Namun kapal masih lagi mengekalkan pelayaran menggunakan kuasa angin dan jentera utama dalam meneruskan pelayaran ini. Setelah selesai mengembangkan layar, warga kapal berpeluang untuk menggunakan kemudahan internet yang terdapat di kapal. Seterusnya warga kapal yang kepenatan setelah seharian bekerja memilih untuk berehat.

Pada malam ini, giliran penulis untuk memperkenalkan diri kepada pembaca sekalian. Nama penulis ialah Lt Dya Mohamad Amar bin Ahmad TLDM, dilahirkan pada tanggal 6 Julai 1985 merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik. Berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Alma. Seterusnya menyambung pendidikan menengah di Penang Free School pada tahun 1998 sebelum bertukar ke Maktab Tentera DiRaja (RMC) pada tahun 1999. Pendedahan awal terhadap dunia ketenteraan ketika di RMC telah mendorong penulis untuk memilih TLDM sebagai profesion pilihan. Berminat untuk menyertai kursus panjang navigasi dan juga menjadi seorang krew kapal selam di masa akan datang. Menyertai Pegawai kadet laut pada 25 Mei 2003 dan ditauliahkan pada 21 Mei 2005 sebagai Lt Muda TLDM. Mendapat Diploma dalam Pengurusan Teknologi dan Pengangkutan Maritim dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor pada tahun 2006. Dalam bidang sukan pula, penulis aktif dalam sukan air seperti perahu layar. Mewakili TLDM pada kejohanan Reggata Raja Muda Selangor untuk dua tahun berturu-turut dan menjadi johan pada tahun 2005. Selain itu penulis juga aktif dalam sukan hoki. Mengenai hobi di masa lapang, penulis gemar menghabiskan masa lapang dengan bersiar-siar sambil dapat menenangkan fikiran. Selain itu penulis juga gemar menonton televisyen. Televisyen pada masa kini bertindak lebih dari sekadar media hiburan. Malah terdapat pelbagai jenis saluran yang memberikan informasi serta pengetahuan kepada penonton-penontonnya. Mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah kenangan ketika menjalani latihan Pegawai kadet. Ianya suatu pengalaman indah untuk diingati tetapi bukan untuk dilalui semula. Bila terkenangkan zaman tersebut ia pastinya indah dan sentiasa terpahat diingatan setiap orang yang mengikutinya. Di sinilah penulis mengenal erti dewasa bila mana kepahitan serta kemanisan bergabung dalam suatu masa dan menciptakan suatu kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Harapan penulis kepada pelayaran ini ialah semoga pelayaran ini menjadi kebanggaan buat TLDM khasnya dan juga Malaysia amnya. Pengalaman serta kepayahan yang kami tempuhi inilah yang bakal menjadikan kami pegawai yang lebih matang dalam segala aspek untuk terus bersama memartabatkan TLDM di mata dunia.

Hari semakin larut dan warga kapal yang lain sudah pun tidur akibat kepenatan mengharungi rutin harian yang padat. Limpahan cahaya bulan menerangi lautan yang kesunyian ini. Sejenak terkenangkan insan tersayang yang sudah dua purnama ditinggalkan. Mungkin sukar untuk kami mengirimkan berita namun itu tidak bermakna kami di sini lupa akan mereka. Semoga orang yang kita sayangi berada dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya.

No comments:

Post a Comment