Powered By Blogger

Tuesday, June 30, 2009

pelayaran seterusnya dari Aden ke Jeddah yang telah mengambil masa selama 7 hari. Pelayaran ini lewat dari JMT asal disebabkan kapal menghadapi masalah jentera utama kiri. Pada 30 April 2007, kapal telah mengalami kerosakan ke atas jentera utama kiri. Pada mulanya ketukan kuat kedengaran di Bilik Jentera. Pegawai Bertugas Anjungan mengambil tindakan serta merta memperlahankan kapal. Seterusnya beliau mengarahkan petugas bilik jentera untuk memeriksa punca bunyi ketukan. Setelah diperiksa, didapati pulley beroperasi di dalam keadaan bergoyang. Pihak kapal telah memberhentikan pengoperasian jentera utama tersebut untuk mengelakkan kerosakan menjadi lebih teruk. Staf teknikal kapal telah membuat pemeriksaan yang lebih rapi dan cuba membaikinya sehingga 1 Mei 2007. Walau bagaimanapun pembaikan tidak dapat diteruskan kerana ketiadaan peralatan khas yang hanya boleh diperolehi di darat.

Kapal meneruskan pergerakkan menggunakan satu jentera pada kelajuan purata 2.5 hingga 3.8 knot. Tolakan arus juga semakin berkurangan dengan hanya selaju tidak melebihi 0.5 knot. Kerosakan ini menyebabkan pihak kapal telah memohon kepada pihak Mk TL kelewatan JMT ke Pelabuhan Jeddah dari 030900C Mei 2007 kepada 050900C Mei 2007 (dua hari lewat). Permohonan diluluskan.

Keadaan Laut Arab dan Laut Merah berombak setinggi antara 1.25 meter hingga 2.5 meter dan arus set ke arah utara dengan kelajuan antara 1 hingga 1.5 batu nautika sejam serta suhu diwaktu siang mencapai 370 C. Kelajuan angin pula sekitar 10 hingga 30 knot dari arah selatan dan layar segi-empat telah digunakan. Namun, keadaan angin telah bertukar daripada selatan ke barat daya dan kapal hanya mengembangkan layar Fore and Aft sahaja.

Sepanjang pelayaran ini krew kapal tetap melaksanakan rutin harian yang dirancangkan dengan tambahan latihan pertolongan cemas. Selain daripada itu, majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai dan latihan praktikal umrah turut dilakukan sebagai persediaan melakukan umrah kelak. Latihan amali dan ceramah panduan menunaikan umrah diterajui oleh Pegawai Agama kapal iaitu Kapten (KAGAT) Abdul Jabbar. Setiap warga kapal disediakan dengan sebuah buku panduan kecil yang menjadi panduan selain ceramah-ceramah berterusan daripada Pegawai Agama. Latihan amali mengerjakan tawaf di sekitar Midship Companionway yang dianggap sebagai Ka’bah turut dilaksanakan. Pada sebelah petang pula kerap diadakan latihan persembahan nasyid dengan diiringi paluan kompang. Pelayaran kali ini terasa agak lama untuk ke destinasi yang dituju kerana tiupan angin yang perlahan di samping kerosakan pada jentera utama kiri.

Pada hari yang kelima puluh lima, KLD TUNAS SAMUDERA tiba di Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi. Kapal bertambat di Berth 46, Transit Shed, Container Ternimal, Jeddah, Arab Saudi. Pelabuhan Jeddah amat luas dengan struktur bangunan infrastruktur pelabuhan yang lengkap dan teratur. Setiba di Jeddah, Pegawai Memerintah bersama delegasi kapal yang diiringi oleh Konsulat General Malaysia di Jeddah, Tuan Syed Bakhri bin Abdul Rahman mengunjungi En Shahir M Tahlawi, Pengarah Urusan Jeddah Islamic Port. Seterusnya Delegasi Malaysia mengunjungi Admiral Abdullah Al-Sultan, Commander Western Fleet di King Faisal Naval Base. Kunjungan hormat kepada Colonel Khalad Al-Kanawi, Chief of Security, Jeddah Islamic Port turut berlangsung pada hari tersebut. Sesi malam pula berlangsung di Kediaman Rasmi Konsulat General Malaysia di Jeddah. Pihak Konsulat mengundang krew kapal sempena rakaman rancangan al-Kulliyah terbitan TV3 untuk disiarkan pada Aidilfitri tahun 2007. Malam tersebut amat penuh bermakna dan meriah kerana krew kapal dapat bertemu dengan ramai rakyat Malaysia yang berada di Jeddah serta krew Media Prima yang melakukan penggambaran tersebut.

Hari kedua di Jeddah dipenuhi dengan tugas ulang bekal terutamanya stok makanan dan keperluan pelayaran yang akan datang. Krew kapal yang tidak bertugas diberi kelepasan untuk melawat bandar Jeddah. Pada sebelah malam pula (6 Mei 2007) majlis resepsi diadakan di kapal. Konsulat General dan rombongan, wakil Tabung Haji Malaysia di Jeddah dan rombongan Tentera Laut Diraja Arab Saudi diundang bagi memeriahkan majlis.

Selesai sahaja menunaikan kewajipan bersembahyang subuh berjemaah pada 7 Mei 2007, kesemua anggota Awasan Starboard telah mempersiapkan diri dengan pakaian ihram dengan dibantu oleh rakan-rakan dari Awasan Port. Krew kapal Awasan Starboard seramai 21 orang berkumpul dengan diketuai oleh Pegawai Laksana, Lt Kdr Zaidi bin Ibrahim TLDM telah diberikan taklimat terakhir pelaksanaan Umrah oleh Kapt Jabbar. Selesai membacakan niat ihram umrah pada jam 6:30 pagi waktu tempatan, krew kapal Awasan Starboard memulakan perjalanan dengan menaiki bas berhawa dingin menuju ke masjid terdekat untuk bersembahyang sunat ihram. Selesai Sembahyang Sunat Ihram, krew kapal meneruskan perjalanan menuju ke Kota Makkah. Selesai menunaikan umrah, mereka kembali ke kapal di Pelabuhan Jeddah. Rutin yang sama dilakukan oleh krew kapal Awasan Port pada keesokan harinya. Kumpulan Awasan Port yang mengerjakan ibadah umrah diketuai oleh Pegawai Memerintah.

Sebagai seorang Islam adalah tidak lengkap sekiranya mengunjungi Kota Makkah tanpa menziarahi Kota Madinah. Walaupun Kota Makkah adalah tempat terletaknya Baitullah iaitu tempah suci penganut agama Islam tetapi Rasullullah S.A.W. dan para sahabat disemadikan di Kota Madinah. Acara lawatan menziarahi Kota Madinah dilakukan oleh Awasan Starboard pada 9 Mei 2007 dan Awasan Port pada 10 Mei 2007.

Kapal dijadualkan meninggalkan Pelabuhan Jeddah pada 11 Mei 07. Namun masalah teknikal pada jentera utama kiri masih tidak dapat dibaiki seperti dirancangkan menyebabkan pelayaran keluar Pelabuhan Jeddah ditunda sehingga 15 Mei 2007. Semuanya gara-gara syarikat pembaikan tempatan Arab Saudi iaitu Marin Services. Semenjak hari pertama kapal tiba di Jeddah sehinggalah hari ke-6, syarikat yang mengakui pakar dalam pembaikan jentera jenis Perkins seperti digunakan oleh kapal tidak dapat membaiki kerosakan. Akhirnya setelah mendapat persetujuan pihak pengurusan tertinggi TLDM di Kuala Lumpur, kapal meneruskan pelayaran pada 15 Mei 2007 ke destinasi seterusnya tanpa pembaikan jentera utama kiri. Gambar aktiviti dialbumkan untuk kenangan masa hadapan.

No comments:

Post a Comment